Pada 24.10.2007 aku baca satu
majalah keluaran Mei 2006 tentang satu ilmu yang amat berguna dan di
sini aku nak kongsikan maklumat tu dengan semua. Dah 4 tahun rupanya aku
simpan maklumat ni. Tujuan aku nak kongsi ilmu ni coz aku yakin semua
orang pasti nak jadi kaya tak kira kaya dari segi kewangan atau harta
benda. So bacalah ye..
LANGKAH 1 : Ambil Keputusan Untuk Menjadi Kaya
Orang
miskin hanya fokus kepada survival kewangan. Mereka miskin kerana
gagal mengurus wang dan selalu bergelut dengan survival kewangan tanpa
mengira berapa pendapatan yang diperolehi. Golongan pertengahan
mempunyai idea bagaimana menggunakan wang dan memberi tumpuan kepada
keselesaan, tidak mahu menjadi kaya tetapi mahu hidup selesa. Orang kaya
fokus kepada pemilikan jangka panjang aset atau hartanah seperti
saham, bon, perniagaan dan hartanah yang memberi hasil. Mereka rela
mengorbankan makan minum, gaji, percutian atau keselesaan tinggal di
rumah yang cantik untuk membina atau memiliki aset sebenar. Jadi ambil keputusan untuk menjadi kaya walaupun hari ini anda tidak mempunyai wang kerana keadaan itu hanya sementara.
LANGKAH 2 : Buat keputusan jenis masalah kewangan anda
Hanya ada 2 jenis masalah kewangan iaitu tidak cukup wang
atau terlalu banyak wang. Malangnya, kebanyakkan orang menghadapi
masalah tidak cukup wang. Ramai orang tahu bagaimana bekerja untuk
mendapatkan wang tetapi tidak tahu bagaimana mempunyai sumber tenaga
dan wang bekerja untuk mereka. Jika anda ingin menjadi kaya anda mesti
memastikan segala wang lebihan mendatangkan lebih banyak wang kepada
anda. Anda perlu tahu apa yang harus dilakukan dengan wang lebihan itu
sebelum ia menguasai anda. Kebanyakan orang berbelanja secara boros
atau menyimpan wang lebihan di dalam bank tetapi malangnya wang
lebihan akan habis dalam masa terdekat kerana tidak dapat mengawal
nafsu berbelanja apabila tiba waktu jualan murah.
LANGKAH 3 : Tulis rancangan anda dan ikut rancangan itu
Jika
anda telah memilih untuk menjadi kaya walaupun hari ini anda tidak
mempunyai wang anda haruslah membuat rancangan dengan beberapa
matlamat asas seperti menukar ciri-ciri pendapatan anda, memulakan perniagaan secara separuh masa,
mengubah ciri-ciri perbelanjaan, menukar perbelanjaan peribadi kepada
perbelanjaan perniagaan, mengesahkan perniagaan dan membeli aset
melalui perniagaan. Kembangkan rancangan anda dan pada waktu yang sama
anda mesti bertahan untuk hidup kurang selesa buat sementara waktu.
Hari ini, anda perlu bersedia untuk tidak mempunyai cukup wang tetapi
bukan miskin. Anda haruslah berdisiplin dengan mematuhi sepenuhnya
rancangan yang anda tulis dan bersemangat serta ikhlas dalam
melakukannya.
LANGKAH 4 : Buat keputusan di mana urusan perbankan anda
Anda boleh membezakan
golongan kaya, miskin dan pertengahan daripada tempat mereka
mendapatkan wang atau di mana mereka melakukan urusan perbankan. Bank
bagi golongan miskin ialah pajak gadai yang memberi pinjaman atas
aset. Golongan pertengahan menggunakan bank untuk simpanan, pinjaman
serta mendapatkan kad kredit. Orang kaya berurusan dengan bank-bank
yang berbeza. Mereka menggunakan khidmat bank pelaburan, mencari modal
persendirian daripada individu yang kaya atau wang dari institusi
lain seperti syarikat insurans atau pasaran saham. Orang kaya yang berjaya sebagai ahli perniagaan lazimnya tidak menghadapi masalah mengumpul wang yang banyak dan mendapatkannya pada kadar yang lebih baik.
LANGKAH 5 : Bijak pilih kawan dan rakan kongsi
Salah
satu sebab orang kaya menjadi lebih kaya ialah mereka memilih kawan
untuk bergaul dan rakan kongsi perniagaan di kalangan orang kaya.
Kebanyakan pelaburan yang baik datang daripada rakan-rakan yang kaya,
bukan daripada broker saham atau broker hartanah. Jadi pilih kawan-kawan yang mempunyai aspirasi untuk menjadi kaya,
hidup selesa atau sekadar meneruskan hidup sahaja. Kawan-kawan yang
hanya mahu hidup selesa atau hidup untuk cukup makan sahaja tidak akan
faham mengapa anda ingin menjadi kaya dan tanpa sedar mereka akan
menurunkan semangat anda. Rakan-rakan yang ingin menjadi kaya sentiasa
berfikiran positif dan maju ke hadapan. Anda akan lebih bersemangat
untuk kaya apabila berkawan dan berkongsi ilmu dengan mereka.
LANGKAH 6 : Beri masa kepada diri sendiri
Membina
perniagaan memerlukan masa. Perniagaan tidak seperti bekerja dengan
orang lain iaitu dibayar gaji. Perniagaan memungkinkan anda tidak
bergaji selama beberapa tahun. Di peringkat awal berniagalah secara
separuh masa. Pandangan menyatakan 90% perniagaan gagal dalam tempoh 5 tahun pertama
kerana kekurangan ilmu dan pengalaman. Perniagaan tidak boleh
dipelajari di sekolah kerana ianya adalah kombinasi pendidikan formal,
pengalaman dan keberanian. Punca lain ialah wang. Kebanyakan peniaga
kecil tidak mempunyai cukup modal dan pemilik perniagaan cuba menyara
hidupnya dan keluarga dengan perniagaannya yang belum kukuh
menyebabkan perniagaannya kekurangan modal sedangkan ia memerlukan wang
untuk berkembang.
LANGKAH 7 : Mula kecil, impian besar
Anda
mungkin berfikir tiada gunanya mempunyai sedikit simpanan sedangkan
kawan anda mempunyai wang berjuta ringgit kerana tidak mungkin anda
dapat mengejarnya. Jangan berfikir begitu, cuba bersaing dengannya dan
jadikan dia mentor dan kejayaannya sebagai inspirasi. Impikan sesuatu
yang besar walaupun anda harus bermula dengan sesuatu yang kecil.
Mempunyai impian besar sangat perlu kerana di dalamnya terdapat
bahan-bahan penting untuk berjaya seperti harapan, kemahuan, kecintaan, tenaga, kepercayaan, semangat, inspirasi dan kreativiti
yang menjadikan hidup lebih bermakna. Ceritakan kepada orang lain
mengenai impian besar anda dan biar mereka mengkritiknya. Gunakan
kritikan-kritikan tersebut untuk mengukuhkan keinginan anda itu.
LANGKAH 8 : Fokus
Tinggalkan
atau kurangkan aktiviti yang kurang mendatangkan faedah jika anda
ingin merubah masa depan anda dan keluarga. Aktiviti yang kurang
mendatangkan berfaedah tersebut sebenarnya mengeringkan poket anda
bukan menambahkan duit di dalam akaun simpanan anda. Fokus atau beri
tumpuan terhadap sesuatu pekerjaan yang dilakukan sangat penting untuk
berjaya dalam apa jua bidang yang anda ceburi. Jika sebelum ini anda
kurang fokus kepada sesuatu pekerjaan yang anda lakukan, berubahlah
sekarang. Fokus dan terus fokus sebaik-baiknya kerana hasil yang bakal diperolehi akan membahagiakan anda.
Anda akan mempunyai kedudukan kewangan yang baik pada masa hadapan.
Oleh itu, insafi kelalaian lalu dan perbetulkan kegiatan anda hari
ini.
LANGKAH 9 : Jadi lebih besar dengan cepat
Masalah
dalam perniagaan kecil ialah anda harus menjalankan semua kerja
sendiri kerana tidak mempunyai modal mencukupi untuk mengambil
pekerja. Peniaga kecil bermula secara kecil dan terus dengan perniagaan
itu perlahan-lahan sehingga perniagaannya lebih besar. Jika anda ingin
berkembang maju dan lebih besar, perniagaan atau pelaburan yang anda
buat mesti bekerja untuk anda dan sebaiknya ia adalah pendapatan
pintar. Perniagaan kecil kurang berkesan untuk menjadikan anda kaya. Dapatkan ilmu dan pengalaman sebanyak yang mungkin,
mula secara kecil-kecilan, dan kembangkan perniagaan secepat mungkin.
Lebih banyak aset yang anda miliki, berkurangan kerja yang anda perlu
lakukan dan lebih banyak wang akan anda perolehi.
LANGKAH 10 : Lebih banyak anda berkongsi, anda menjadi lebih kaya
Jika
anda tamak, kedekut atau terlalu takut untuk berbelanja, lebih lama
tempoh yang akan anda ambil untuk menjadi kaya. Fokus untuk
mendapatkan lebih banyak wang walaupun mendatangkan pulangan yang
kurang, tetapi untuk lebih ramai orang. Anda perlu berkongsi kekayaan dengan orang lain seramai yang mungkin.
Bermurah hatilah dan cuba berkongsi. Jika anda berbuat demikian, anda
akan menjadi lebih kaya berbanding mereka yang hanya bekerja untuk
diri sendiri. Amalkan bersedekah kepada orang-orang yang memerlukan
dengan niat ikhlas sebagai tanda anda ingin berkongsi rezeki anda
dengan mereka. Anda juga boleh berkongsi ilmu pengetahuan dengan
mereka yang memerlukan. Mudah-mudahan pintu rezeki anda akan sentiasa
terbuka luas.
No comments:
Post a Comment